300 Syarikat Suburkan Syiah Di Malaysia

Advertisement
Kuala Lumpur: Dana bernilai jutaan ringgit setahun disalurkan secara aktif oleh lebih 150 syarikat perniagaan tempatan untuk menampung kos kegiatan penyebaran fahaman Syiah di Malaysia.

Menurut sumber pihak berkuasa, syarikat terbabit meliputi pengeluar dan pengedar satu jenama air rawatan terkenal, selain perniagaan berteraskan makanan, pakaian dan klinik perubatan.

Sumber itu berkata, 150 syarikat terbabit adalah sebahagian daripada keseluruhan hampir 300 syarikat yang terbabit secara langsung dengan menyumbangkan dana kepada gerakan Syiah di negara ini.

Gambar Hiasan

“Hasil risikan dijalankan kami mengesan hampir 300 syarikat yang ada kaitan dengan pergerakan Syiah dan sebahagian didalangi warga Iran sebagai pemilik atau ahli lembaga pengarah syarikat.

“Namun, daripada hampir 300 syarikat terbabit, 150 dikenal pasti menyumbang dana secara aktif dengan sumbangan antara RM5 juta dan RM6 juta setahun,” katanya kepada Harian Metro. Menurutnya, perkembangan itu menjadikan gerakan menyebarkan fahaman Syiah di negara ini satu ‘pasukan’ yang kukuh kerana mempunyai dana sendiri hasil kegiatan ekonomi dijalankan syarikat terbabit.

“Salah satu syarikat perniagaan yang aktif dan memberi sumbangan kewangan paling besar ialah pengeluar air rawatan yang cukup terkenal. Kita sudah menyiasat dan mendapati seorang daripada ahli lembaga pengarahnya amat berpengaruh dalam Majlis Syiah Malaysia,” katanya.

Sumber itu berkata, siasatan pihaknya juga mendapati syarikat air rawatan itu mempunyai kedudukan kewangan yang amat kukuh kerana mengutip yuran keahlian untuk anggota yang menjadi pengedar produk mereka.

Menurutnya, hasil yuran keahlian saja membolehkan syarikat itu mengutip lebih RM250,000 setiap bulan. “Berdasarkan bukti yang kami peroleh, mereka juga ada bangunan sendiri. Jadi, aset yang ada ini, semuanya digunakan untuk mengembangkan Syiah,” katanya Sumber itu berkata, selain menyebarkan fahaman dan mencari pengikut baru menerusi aktiviti perniagaan, penggiat Syiah di negara ini juga aktif menggunakan laman sosial seperti facebook (FB).

Menurutnya, beberapa lokasi sudah dikenal pasti menjadi markas gerakan antaranya di Taiping, Perak, Pendang (Kedah), Hulu Klang (Selangor) dan Taman Titiwangsa (Kuala Lumpur).

“Boleh dikatakan mereka ada cawangan atau markas di hampir setiap negeri, cuma bezanya aktif atau tidak,” katanya. “Jikapun kita tidak terpengaruh dengan dakyah mereka, urus niaga yang kita jalankan dengan mereka menjadikan kita secara tidak langsung menyumbang dana untuk perkembangan fahaman Syiah,” katanya.

Isu Syiah ini menjadi hangat awal bulan lalu lalu selepas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi mendedahkan terdapat lebih suku juta pengikut syiah di negara ini biarpun fahaman itu diwartakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996.

Kelmarin, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran selepas penyebaran fahaman Syiah dikesan semakin menular kebelakangan ini.

-Sumber


Apa Komen Anda?

0 comments:

Post a Comment