Artis Hip Hop Di Penjara 20 Tahun Dan 10 Sebatan

Advertisement
KAJANG: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara dan 10 sebatan terhadap seorang anggota kumpulan hip-hip popular tahun 2000 selepas didapati bersalah merogol anak tirinya.

Guru vokal berusia 38 tahun yang bekerja dengan beberapa badan kerajaan itu tenang apabila mahkamah membuat keputusan berkenaan tetapi kelihatan menitiskan air mata sewaktu mahkamah berehat seketika sebelum menjatuhkan hukuman.

Tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang kini berusia 15 tahun di bilik tidur gadis itu di sebuah rumah di Taman Gombak Jaya, Gombak dekat sini, pada pukul 9 pagi, 2 Februari 2012.

Bekas anggota kumpulan hip-hop dibawa anggota penguatkuasa ke Penjara Kajang selepas gagal membayar wang jaminan RM80,000.

Adalah difahamkan bahawa ibu mangsa dan tertuduh telah lama bercerai.

Hakim Nor Hazani Hamzah berkata, keterangan yang diberikan mangsa adalah berwibawa selain pengesahan doktor terdapat koyakkan pada kemaluan mangsa.

"Selepas kejadian itu, mangsa menceritakan peristiwa berkenaan kepada dua saksi (kedua-dua mereka adalah guru sekolah mangsa). Keterangan kedua-dua saksi bebas itu adalah berwibawa,” katanya.

Nor Hazani menambah, pihak pembelaan pula gagal menimbulkan keraguan munasabah dan akhirnya ‘menyokong’ pihak pendakwaan.

Mahkamah juga turut mendengar kenyataan mangsa terhadap kesan yang dialaminya sebelum menjatuhkan hukuman.

"Saya rasa tidak selamat dan jijik pada diri sendiri. Saya rasa saya telah hilang perasaan untuk hidup sehingga mendorong saya beberapa kali untuk membunuh diri.

"Saya tidak tahu apa akan jadi dengan masa depan saya kerana ia kelihatan suram. Saya juga takut untuk kembali ke sekolah, takut bahawa episod gelap ini berulang," kata gadis itu sambil menangis ketika memberi kenyataan.

Peguam bela tertuduh iaitu Azmi Talib memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menanti rayuan di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd Zawawi bagaimanapun membantah permohonan itu sambil berhujah bahawa tiada keistimewaan tertuduh untuk dibiarkan bebas.

Nor Hazani bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin dan menaikkan jumlah wang jaminan daripada RM15,000 kepada RM80,000.

Bagaimanapun tertuduh gagal membayar wang jaminan itu menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Penjara Kajang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

-Sumber


Apa Komen Anda?

0 comments:

Post a Comment