Tungku Elektrik Meletup Dan Cederakan Pengguna

Advertisement
ALOR SETAR - Gara-gara mahu menuam lutut, seorang pesara guru melecur separuh badan apabila tungku elektrik yang digunakannya tiba-tiba meletup di rumahnya, di Taman Uda dekat sini  baru-baru ini.

Ahmad Mat Saman, 78, berkata, dia menggunakan tungku elektrik itu untuk menuam lutut kiri selepas rakannya memberikan alat berkenaan bagi menghilang penyakit sengal-sengal di lututnya.

Menurutnya, tungku elektrik itu diberi pinjam oleh rakannya kerana dikatakan mampu memulihkan saluran darah dengan menuam di urat lutut bagi menyembuhkan sakit lutut.

Ahmad memegang tungku elektrik sambil menunjukkan paha kirinya yang melecur akibat tungku elektrik berkenaan meletup.

"Bagaimanapun saya hanya sempat menggunakannya selama tiga kali sahaja sebelum kejadian itu berlaku.

“Tungku elektrik itu perlu dicas dulu supaya panas dan dikatakan mampu menghentikan tahap kepanasan secara automatik apabila cecair di dalamnya panas," katanya.

Ahmad berkata, bagaimanapun semasa dia menuam lutut sambil mengecas tungku elektrik itu, cecair di dalam beg berkenaan menjadi panas dan berbunyi seperti air mendidih.

"Saya teruskan menuam kerana dikatakan ia mampu memberhentikan tahap kepanasan secara automatik.

"Tapi tiba-tiba tungku itu meletup dan cecair di dalamnya menyimbah ke seluruh paha kiri dan tangan,” katanya.

Sebelum kejadian, Ahmad berkata, dia curiga dengan tungku elektrik itu apabila cecair mendidih di dalamnya namun tidak sempat untuk menutup pada plag yang mengecas tungku elektrik berkenaan.

"Saya terus dapatkan rawatan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Tragedi ini menyebabkan saya terlantar di hospital selama beberapa hari dan kini terasa takut untuk menggunakannya bimbang kejadian itu akan berulang kembali," katanya.

-Sumber


Apa Komen Anda?

0 comments:

Post a Comment